Thursday, November 25, 2010

Adebayor pindah ke Juve

              City bersetuju untuk membiarkan Adebayor menyertai Juventus secara pinjaman.



Menurut pemain antarabangsa Togo itu, Manchester City telah bersetuju untuk membiarkan penyerangnya, Emmanuel Adebayor menyertai Juventus secara pinjaman pada bulan Januari.
 
Adebayor, 26, masih belum menjadi sebahagian daripada pengurusan Roberto Mancini musim ini. Dia hanya ditempatkan di bangku simpanan semenjak Mancini mengambil alih City.
 
Bekas pemain Arsenal itu hanya bermain dalam enam perlawanan setakat ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris.
 
"Saya tak tahu apa salah saya dengan Roberto Mancini, tapi dia tak pernah menurunkan saya. Saya akan berpindah semasa tempoh tetingkap pertukaran pada bulan Januari nanti," katanya. 
 
"City telah mencapai kata sepakat dengan Juventus untuk meminjamkan saya. Oleh itu, saya berharap supaya dapat pergi pada bulan Disember."
 
Adebayor hanya menyertai revolusi City 18 bulan yang lalu, ketika bekas pengurus, Mark Hughes mendapatkannya dari The Gunners. Namun, setelah Hughes diberhentikan pertengahan musim lalu dan digantikan oleh Mancini, penyerang itu tampaknya semakin kurang mendapat tempat di Eastlands.
 
Ini bukan kali pertama dia dikaitkan dengan perpindahan ke raksasa Turin. Sebelum ini Adebayor dikaitkan menyertai Juve pada bulan Ogos dan pada masa yang sama City berusaha untuk mendapatkan pemain Internazionale, Mario Balotelli.
 
Adebayor kini kecewa kerana kurang mendapat tempat dalam skuad utama Mancini.
 
"Sebelum ini, saya tak akan menerima tawaran daripada pasukan-pasukan lain. Saya hanya mahu mengenakan jersi City dan mempunyai musim baik seperti yang saya lakukan tahun lalu," katanya.
 
"Tapi saya sedar bahawa tidak ada banyak kesempatan bagi saya untuk bermain. Saya mempertimbangkan banyak tawaran yang saya terima. Juventus adalah kelab besar dan saya sangat ingin bermain dengan mereka."

No comments:

Post a Comment